
LORIS Karius dijadikan sasaran ancaman bunuh dan ugutan di media sosial, selepas dipersalahkan ketika pasukannya tumbang kepada Real Madrid di final Liga Juara-Juara. - Foto AFP
Polis siasat Karius diancam bunuh
LONDON: Polis menjalankan siasatan apabila penjaga gol Liverpool, Loris Karius dijadikan sasaran ancaman bunuh dan ugutan di media sosial, selepas dipersalahkan ketika pasukannya tumbang kepada Real Madrid di final Liga Juara-Juara.
Karius bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dua gol yang diraih Real ketika menang 3-1 ke atas Liverpool di Kiev, awal pagi Ahad.
Pemain Jerman berusia 24 tahun itu membaling bola dan dihalang penyerang Real, Karim Benzema sebelum bola melantun masuk ke gawang untuk gol pertama.
Dia juga membenarkan jaringan oleh Gareth Bale apabila gagal menangkas kemas percubaan jarak jauh sekaligus membolehkan Real meraih gol ketiga pada minit terakhir permainan.
Karius mengalirkan air mata ketika wisel penamat dan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui kecewa dan kesal ke atas pemain yang ditandangani dari Mainz pada 2016 itu.
Tiada pemain Liverpool yang dilihat cuba mententeramkan Karius, yang dirakam menutup muka ketika pasukannya tiba di Lapangan Terbang John Lennon.
Karius sudah memohon maaf di atas kesilapannya selepas perlawanan, tetapi ia gagal menghalang peminat Liverpool meluahkan kemarahan dan memberi ancaman termasuk kepada keluarganya.
Ada beberapa kenyataan yang disiarkan berharap Karius akan mati kerana barah, manakala ada yang menulis: "Saya harap seluruh keluarga kamu mati' dan ada seorang yang memuat naik "Saya akan bunuh teman wanita kamu'.
Jurucakap Polis Merseyside memaklumkan kepada Daily Telegraph, mereka akan menjalankan siasatan ke atas gangguan berkenaan.
"Kami beranggapan semua kenyataan di media sosial yang bersifat mengancam itu sebagai sesuatu yang serius. Setiap kesalahan yang dikenal pasti akan disiasat," katanya.
"Polis Merseyside mengingatkan pengguna media sosial bahawa apa saja kesalahan termasuk komunikasi berniat jahat dan perlakuan yang mengancam akan disiasat,"
Melalui laman sosial twitter peribadi, Karius sekali lagi memohon maaf ke atas persembahan yang mencetuskan mimpi ngeri buat peminat.
"Tidak mampu memejamkan mata sehingga sekarang. Situasi itu (di padang) masih berlegar di kepala, berulang-ulang. Saya benar-benar memohon maaf kepada rakan sepasukan, kepada peminat dan seluruh kakitangan pasukan," katanya.
"Saya tahu, saya melakukan dua kesilapan besar dan membuatkan anda semua kecewa.
"Seperti yang saya katakan, jika boleh saya mahu kembalikan detik itu, tetapi mustahil. Lebih teruk, kami semua yakin mampu tumbangkan Real Madrid dan kami sentiasa kekal bersaing untuk tempoh yang panjang.
"Terima kasih kepada peminat yang menakjubkan, yang datang ke Kiev dan menyokong saya, termasuk selepas perlawanan. Saya tidak bersikap ambil mudah dan sekali lagi, ia menunjukkan kita adalah keluarga yang besar. Terima kasuh dan kami akan bangkit lebih kuat," - AFP
Source : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/05/431112/polis-siasat-karius-diancam-bunuh
Source : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/05/431112/polis-siasat-karius-diancam-bunuh
Maafkan saya: Karius

KIEV: Penjaga gol Liverpool Loris Karius mengakui kesalahan atas kekalahan pasukannya kepada Real Madrid 1-3 pada final Liga Juara-Juara yang menyaksikan dua kesilapannya menghadiahkan jaringan buat lawan.
Penjaga gol kelahiran Jerman itu memberikan Real gol pertama mereka pada minit ke-51 di mana ketika dia terburu-buru memulakan serangan, dia membaling bola di depan Karim Benzema yang pantas merebut peluang untuk meledak jaringan.
Karius, 24 turut melakukan kesilapan untuk gol ketiga Real apabila Gareth Bale mencuba jaringan jarak jauh yang melepasi jangkauan penjaga gol Liverpool itu.
"Saya tidak rasa apa-apa ketika ini. Hari ini saya menyebabkan pasukan saya tewas dan ingin meminta maaf kepada semua," kata Karius.
"Saya meminta maaf kepada semua, pasukan, seluruh kelab kerana kesilapan yang membawa padah. Jika boleh saya undurkan masa, saya akan lakukan. Saya minta maaf kepada pasukan. Saya tahu saya kecewakan mereka hari ini.
"Gol itu menyebabkan kami hilang gelaran," katanya.
"Situasi memang sukar sekarang tetapi itulah kehidupan seorang penjaga gol. Anda perlu bangkit semula."
Karius meniarap di padang pada akhir perlawanan sebelum dipujuk rakan sepasukan. Katanya, rakan sepasukan cuba menaikkan kembali semangatnya di bilik persalinan.
"Sudah tentu semua orang cuba menggembirakan saya tetapi suasana sepi di mana-mana kerana semua orang kecewa," katanya.
Akur dengan kesilapan itu, Klopp amat bersimpati terhadap penjaga gol yang dibawa daripada kelab lamanya Mainz.
"Apa yang boleh saya katakan. Loris pun tahu, semua orang tahu. Ia sesuatu yang memalukan dalam perlawanan seperti ini dan musim seperti ini. Saya benar-benar simpati dengannya, dia pemain yang hebat," kata Klopp. - Reuters
Source : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/05/430862/maafkan-saya-karius