SABAN tahun tatkala melangkah masuk Rejab, sejarah penting yang berlaku dalam bulan ini antaranya peristiwa pengembaraan dan perjalanan luar biasa Nabi Muhammad SAW untuk menemui ALLAH SWT (Israk dan Mikraj). Terlampau banyak hikmah yang boleh diteladani dalamnya.

Dalam peristiwa yang berlaku usai solat Isyak, Baginda SAW berada di Masjidilharam dibawa ke Masjidil Aqsa yang terletak di Palestin kemudian menaiki buraq terus ke langit ke tujuh, semuanya berlaku dalam tempoh satu malam. Maha Besar ALLAH, Tuhan sekalian alam!



Tahun kesedihan Baginda SAW


Pendakwah, Ustaz Shahrizan Daud menjelaskan, dalam riwayat dan pengkajian kebanyakan ulama sejarah, antara faktor berlakunya peristiwa Israk Mikraj adalah kerana ALLAH berkehendak memujuk kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.


Ini kerana pada tahun berkenaan juga menjadi tahun kesedihan bagi Rasulullah SAW.  Dalam tahun yang dikenali sebagai aamul hazni (tahun kesedihan), Baginda SAW kehilangan dua insan tersayang dan mempunyai peranan sangat penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu pemergian isteri tercinta, Siti Khadijah binti Khuwailid serta bapa saudara yang memeliharanya semenjak kecil lagi iaitu Abu Talib bin Abdul Mutallib.


"Pemergian kedua-dua insan penting ini berlaku dalam keadaan kehidupan Rasulullah SAW dan golongan sahabatnya penuh dengan tekanan, pemboikotan dan banyak menerima ancaman bunuh daripada golongan kafir Quraisy ketika itu.


"Peristiwa Israk dan Mikraj bukan sahaja sebagai faktor pujukan ALLAH terhadap Rasulullah SAW semata-mata. Sebaliknya, ia juga adalah saat di mana kefarduan ibadat solat lima waktu disuruh ALLAH dan beberapa gambaran simbolik berkaitan azab dan nikmat pada hari akhirat nanti," katanya kepada Rehal.


Menurutnya, malah peristiwa Israk dan Mikraj itu juga adalah satu ujian kepada golongan sahabat yang pernah beriman dan mengikuti Rasulullah SAW.


Dalam riwayat sejarah yang lain ada menyatakan terdapat sebilangan daripada mereka telah murtad dan keluar daripada agama Islam hasil daripada perjalanan Israk dan Mikraj kerana ketidakpercayaan mereka kepada peristiwa luar biasa yang tidak mampu diterima akal.



Keimanan dan logik akal


"Dalam ruangan Halaqah kali ini, saya cuba mengaitkan peristiwa agung ini dengan faktor keimanan dan logik akal menurut perspektif sains melalui perbincangan saya dengan beberapa ahli sains dan astronomi.
"Antaranya penggiat Astronomi Amatur Malaysia dan pengasas www.falakonline.net, Shahrin Ahmad.

"Dapat dilihat perkaitan perjalanan dan kelajuan perjalanan Israk dan Mikraj ini adalah melalui teori kecepatan kelajuan cahaya.


"Dilihat secara umum, teori E=mc² bersumberkan peristiwa Israk dan Mikraj daripada pengkajian pakar fizik iaitu Albert Eistein, beliau mengambil masa kira-kira 12 tahun untuk melengkapkan Teori Relativiti Khas kepada Teori Relativiti Umum.


"Banyak persoalan yang dibangkitkan oleh orang bukan Islam. Hampir tiada langsung yang mempercayainya kerana konsep pengiraan: Halaju cahaya = 300,000 km/s. Buktinya sebagai contoh, cahaya tanpa henti untuk sampai ke penghujung alam semesta yang dapat dilihat hari ini melalui teleskop mengambil masa kira-kira 13.1 bilion tahun," katanya yang turut bertugas sebagai tenaga pengajar di Usrah Fitrah dan perunding latihan ini.
Beliau menambah, dengan alasan inilah mereka (orang bukan Islam) beranggapan adalah mustahil untuk Nabi Muhammad SAW mengembara dalam hanya satu malam.

Firman ALLAH yang bermaksud: "Dan ingatlah tatkala Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad, bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya dan tiadalah Kami menjadikan pandangan pada malam Mikraj yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia." (Surah Al-Isra': 60)



Teguh mempercayainya
Siapalah kita untuk tidak mempercayai peristiwa agung ini. Ia bukan untuk difikirkan dengan menggunakan akal logik semata-mata, malah paling utama, sebagai seorang yang mengaku beriman, sudah pasti kita akan mempercayainya walaupun ia tidak mampu diterima dek akal.

Inilah bukti iman, iaitu antaranya mempercayai perkara yang ghaib dan tidak boleh dilihat dengan mata.


Inilah bukti yang cuba ditunjukkan oleh sahabat Baginda SAW yang sentiasa membenarkan, Saidina Abu Bakar As-Siddiq tatkala kafir Quraisy mengatakan Muhammad ke Masjidil Aqsa dalam tempoh satu malam yang diceritakan kepadanya sebagai satu ejekan dan untuk merendahkan Nabi Muhammad SAW .


Namun apa yang dijawab oleh Abu Bakar As Siddiq, dengan lantang beliau berkata: “Kalaulah Muhammad yang menceritakan perkara ini, jangankan ke Masjidil Aqsa, malah kalau Muhammad ke langit sekalipun, pasti aku akan mempercayainya".



Sains & kesahihannya
Sementara itu, Shahrin menerangkan mengenai perkaitan ringkas teori dan peristiwa ini dari segi istilah sains dan kesahihannya antara jisim dan tenaga.

Menurutnya, Teori Relativiti Khas E=mc² adalah sesuatu jisim yang bergerak dengan halaju cahaya, ia akan berubah bentuk menjadi tenaga manakala tenaga yang terhasil ini jika dikembalikan kepada jisim asal, akan terdapat ralat atau kecacatan pada jisim tersebut dengan erti kata lain, bukan dalam keadaan asalnya.

"Supaya lebih  mudah difahami, lihat sebuah bantal berisi kekabu separa padat dan lakukan eksperimen ke atasnya. Kemudian ayunkan selaju mungkin dengan memegang pada satu bahagian dan cuba lihat bagaimana keadaan bahagian yang lain?

Sudah pasti keadaannya akan berubah daripada bentuk asalnya.

"Itulah jika diibaratkan dengan badan manusia. apabila kelajuan disentuh pada permukaan kulit, ia akan berubah mengikut bentuk permukaan yang menyentuhnya," katanya.

Menurutnya, pada fizikal tubuh dan jasad Nabi Muhammad SAW, tidak terdapat sebarang perubahan walau sedikit pun. Jika dilihat dari segi faktor teori sains fizik, langsung tidak tersenarai faktor lengkap yang menyebabkan kegagalan teori tersebut.

Sebabnya adalah sangat mudah. Ini adalah kerana ALLAH memelihara badan Nabi Muhammad SAW daripada segala kecacatan dan kekurangan.

Persoalan logik ini juga barangkali sesuai jika boleh dikaitkan dengan teori kelajuan cahaya iaitu: With The Speed Of Light, A Person Is No Bound To Time And Space (dengan kelajuan cahaya, seseorang itu tidak akan tertakluk atau terhad kepada masa dan tempat).

Source : http://www.sinarharian.com.my/rencana/sains-di-sebalik-israk-mikraj-1.283103

Falsafah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj

Oleh: DR. BADLIHISHAM MOHD. NASIR

DAKWAH adalah suatu bidang ilmu yang mempunyai dimensi sumber yang luas. Di samping mengambil panduan secara umumnya daripada nas-nas al-Quran dan amalan Rasulullah yang nyata, pengajaran atau falsafah dakwah boleh juga diambil daripada peristiwa-peristiwa kerohanian seperti Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad s.a.w.
Dalam erti kata lain, perjalanan Rasulullah s.a.w daripada Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis dan seterusnya menemui Allah Azza Wajalla di Sidratul Muntaha, bukanlah suatu perjalanan yang sia-sia bahkan mengandungi matlamat dan pengajaran kepada seluruh umat manusia.
Sebagaimana peristiwa-peristiwa ajaib lain seperti Ashabul-Kahfi, al-Quran merakamkannya demi untuk memberi pengajaran kepada manusia. Hakikat ini diakui benar daripada pernyataan al-Quran bahawa peristiwa Israk adalah sebagai suatu perjalanan untuk memperlihatkan kekuasaan Allah s.w.t.
Firman Allah yang bermaksud:
''Maha suci (Allah) yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya, supaya kami perlihatkan kepadanya sebahagian ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Kami.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.'' (al-Isra': 1).
Seterusnya, tujuan Allah s.w.t untuk memperlihatkan keagungan-Nya dalam peristiwa Mikraj pula jelas tergambar dalam firmanNya: ''Sedang dia di ufuk yang tinggi. Kemudian ia hampir dan bertambah hampir.
Maka adalah (jaraknya dari Nabi) dua batang panah atau lebih hampir. Kemudian Dia mewahyukan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa-apa yang diwahyukan-Nya. Tiadalah hatinya mendustai apa-apa yang dilihatnya. Sesungguhnya dia telah melihat (malaikat) pada kali yang lain. Iaitu di sisi Sidratul Muntaha.'' (al-Najm: 7-14).
Persoalannya, apakah relevannya Allah Azza Wajalla memperlihatkan kekuasaannya dalam konteks dakwah? Secara umumnya peristiwa Israk dan Mikraj ini melambangkan dua perjalanan yang jauh berbeza iaitu Israk yang bermaksud perjalanan di alam Sufli (bumi), manakala Mikraj pula menjelaskan peristiwa pendakian ke alam Ulwi (langit).
Gabungan dua alam ini membentuk suatu lambang kekuasaan dan keagungan Allah yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana makhluknya sama ada jin atau manusia. Langit dan bumi yang pada asalnya adalah satu, kemudiannya dipecahkan kepada dua identiti berasingan (al-Anbiya': 30) berkembang mengikut fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah.
Kerajaan di langit dan di bumi semuanya mesti patuh kepada perintah Allah s.w.t. Ini bermakna sekiranya makhluk di langit itu beriman dan berserah diri kepada Allah (menjadi Muslim), maka tiada pilihan lain bagi penduduk di bumi melainkan turut sama beriman dan menyerah diri kepada pencipta yang agung. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah:
''Mengapakah mereka mencari agama selain daripada agama Allah? Walhal telah menyerah diri kepadaNya, mereka yang di langit dan di bumi dengan sukarela atau terpaksa. Dan kepadaNya mereka dikembalikan.'' (Ali-Imran: 83).
Justeru, mesej dakwah agar makhluk di bumi menyerah diri atau menjadi Muslim dalam erti kata yang sebenarnya jelas tergambar daripada peristiwa Mikraj yang memaparkan kekuasaan makhluk Allah di langit.
Sekiranya makhluk di bumi menyahut seruan tauhid, mereka akan dimuliakan oleh makhluk di langit.
Andai kata makhluk di bumi enggan menyerah diri atau mengambil satu jalan hidup yang bercanggah dengan jalan hidup (keislaman) makhluk di langit, nescaya mereka menempah kutukan dan laknat daripada kekuasaan di langit. Hal ini diingatkan oleh Allah dalam firmannya:
''Adakah kamu aman (tidak takut pada Yang Berkuasa) di langit, bahawa Dia akan membenamkan kamu ke dalam bumi lalu ia bergoyang-goyang. Bahkan adakah kamu merasa aman (tidak takut pada Yang Berkuasa) di langit, bahawa dia akan mengirimkan (menghujani) batu kepadamu? Nanti kamu akan tahu bagaimana peringatan-Ku.'' (al-Mulk: 16-17).
''Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan sombong menerimanya, nescaya tidak akan dibukakan pintu langit untuknya. Dan tidak juga masuk syurga kecuali apabila masuk (meloloskan diri) unta melalui lubang jarum.'' (al-A'raf: 40).
Berdasarkan kepada pengajaran di atas, dakwah adalah merupakan suatu perintah yang mesti dilaksanakan kepada seluruh manusia supaya mereka mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Justeru, ia adalah suatu tugas yang berat dan mencabar. Hakikat ini telah menimpa Rasulullah s.a.w, di mana baginda telah dimusuhi oleh sanak-saudara dan kaumnya sendiri. Tugas dakwah semakin getir apabila dua orang yang sentiasa membantunya dan melindungnya; iaitu isterinya Siti Khadijah dan pamannya Abu Talib meninggal dunia. Ramai ulama berpendapat bahawa peristiwa sedih yang dikenali sebagai ''Am Huzn'' atau tahun dukacita ini membawa kepada berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang bertujuan memulihkan kedukacitaan Rasulullah s.a.w dengan melihat sendiri alam kebesaran Tuhannya.
Ringkasnya, ia adalah suatu proses pembinaan Thiqah al-Daiyyah (personaliti pendakwah) atau motivasi peringkat tertinggi yang pernah berlaku di kalangan nabi-nabi Allah. Tanda-tanda kekuasaan Allah yang diperlihatkan kepada Rasulullah s.a.w secara Ain al-Yakin (keyakinan secara tontonan) berfungsi menumbuhkan kekuatan iman yang jitu dalam diri seorang pendakwah. Pendakwah yang tidak mempunyai keyakinan atau iman yang penuh terhadap apa yang diserunya, akan mudah ditimpa kelesuan, kejemuan, rasa bosan dan kelonggaran pegangan.
Di antara amalan yang harus dilakukan oleh pendakwah sebagai mengambil iktibar dari peristiwa ini ialah dengan selalu mengingati Allah s.w.t. Hakikat ini ditegaskan oleh Ustaz Fathy Yakan dalam kitabnya Qawaribun Najah fi Hayati al-Du 'at iaitu ''Zikru Allah (mengingati Allah) akan melonjakkan keberanian, ketabahan dan dorongan ingin mara berjuang, kerana di saat itu orang beriman akan merasakan Allah sentiasa bersama-samanya. Perasaan itu selalunya akan melahirkan daya juang dan tekad yang hebat untuk menghadapi segala bentuk cabaran merempuh segala rintangan dengan jiwa yang jitu, percaya kepada diri sendiri dan bersikap tenang.''
DR. BADLIHISHAM MOHD. NASIR
Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.
Source : http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1105&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm